Thursday, July 30, 2009

BAHAYANYA MICROWAVE OVEN

Sejauh mana kebenarannya. ..Wallahua' lam. Sesiapa yang boleh sahkan...silakan.

BAHAYA MICROWAVE OVEN

Ketuhar gelombang mikro atau lebih popular dengan nama inggerisnya microwave oven, ialah antara gajet moden yang popular dikalangan para suri rumah dan pengusaha restoran di dunia sebagai jalan pintas menyediakan makanan untuk keluarga dan pelanggan. Ketuhar ini amat popular kerana kecekapannya memanaskan makanan dalam sekelip mata.

Lebih-lebih lagi, amat membantu pada bulan puasa, waktu sahur. Para ibu dan isteri hanya perlu masukkan makanan ke dalam ketuhar dan tekan punatnya...nyit. ..nyit... nyit dan tinggg.....! Makanan panas sudah pun terhidang. Justeru, hampir setiap rumah kini memiliki microwave oven.

Cara masak melawan fitrah

Cara memasak atau memanaskan makanan di atas api atau ketuhar biasa bermula dengan makanan panas di bahagian luar dahulu, kemudian barulah haba masuk ke bahagian dalam. Berlainan dengan penggunaan ketuhar gelombang mikro. Makanan yang dimasak atau dipanaskan akan menjadi panas di bahagian dalam dahulu, kemudian barulah haba bergerak ke luar.

Ini boleh dilihat dengan membakar kentang di dalam ketuhar gelombang mikro untuk satu tempoh yang agak lama,katakana sejam. Walaupun telah dimasak sejam, kentang kelihatan seperti belum masak. Tetapi jika dibelah, tiada apa di> bahagian dalamnya melainkan arang! Inilah yang dikatakan cara memasak melawan fitrah. Pastinya sesuatu yang melawan fitrah, lazimnya membawa keburukan.

Ketuhar pengancam nyawa

Ketuhar gelombang mikro diperkenalkan pada orang ramai sekitar pertengahan 1950-an. Ketika itu tidak banyak kajian saintifik terhadap kesan memakan makanan gelombang mikro. Cuma sejak kebelakangan ini barulah pelbagai kajian dan penyelidikan dilakukan terhadap kesan memakan makanan gelombang mikro kepada kesihatan manusia.

Kesemuanya merumuskan bahawa ketuhar gelombang mikro menghasilkan makanan yang sangat bahaya. Ini agak mengejutkan kerana ketuhar ini baru bersama kita beberapa dekad sahaja. Namun dalam tempoh yang singkat itu, pelbagai penyakit yang berbahaya dan pelik-pelik muncul satu persatu. Ini secara teorinya, menjelaskan penggunaan ketuhar gelombang mikro turut menyumbang kepada meningkatnya pelbagai penyakit yang mengancam nyawa!

Tidak hairan jika golongan remaja hari ini, banyak yang diserang sakit jantung, dan orang muda seusia20-an dan 30-an mati menghidap kanser.

Makanan jadi toksik

Dalam penggunaan ketuhar gelombang mikro, radiasi elektromagnetik menggerakkan molekul-molekul makanan. Molekul-molekul ini 'dipaksa' berpusing sedangkan kalau memanaskan makanan cara biasa, molekul-molekul ini bergerak dari tepi ke tepi. Keadaan berpusing ini memusnahkan molekul dan kadang kala menyusunnya semula menjadi bahan-bahan toksik yang menyebabkan alahan kepada manusia.

Badan tak kenal makanan

Yang dibimbangkan tentang penggunaan ketuhar gelombang mikro, bukan radiasi yang terhasil, tetapi bagaimana ia merosakkan DNA makanan hingga badan manusia tidak kenal bahawa apa yang ditelan itu ialah makanan. Kerana tidak mengenali makanan, badan bertindak menyalutinya di dalam sel-sel lemak sebagai perlindungan terhadap 'makanan mati'; atau badang mengumuhkannya dengan pantas.

Sesungguhnya telah banyak bukti saintifik yang didedahkan oleh saintis akan bahaya penggunaan ketuhar gelombang mikro, para pengeluar tetap mengatakan ia selamat kerana keuntungan yang diperoleh daripada penjualan ketuhar ini berlipat ganda.

Penemuan mengejutkan

Dua orang penyelidik, Blanc dan Hertel telah mengesahkan bahawa memasak menggunakan ketuhar gelombang mikro, dengan ketaranya mengubah nutrisi makanan. Hertel telah bertahun-tahun menjadi saintis makanan dan berkhidmat di sebuah syarikat makanan Swiss terkemuka. Dia dibuang kerja kerana mempersoalkan prosedur memproses makanan secara luar tabi'i. Lantas dia bergabung tenaga dan kepakaran dengan Blanc dari Swiss Federal Institute of Biochemistry dan University Institute for Biochemistry.

Kedua-dua saintis ini mengkaji kesan makanan mikro gelombang terhadap lapan individu dengan mengambil darah mereka sejurus selepas mengambil makanan gelombang mikro. Blanc dan Hertel mendapati paras haemoglobin individu-individu ini telah menurun. Hasil kajian ini menunjukkan orang yang makan makanan gelombang mikro cenderung mendapat anaemia (kekurangan darah). Situasi bertambah jelas pada bulan kedua penyelidikan. Itu baru dua bulan diberi makan makanan gelombang mikro, bagaimana kalau kita memakannya berbulan-bulan, bertahun-tahun?

Sepuluh sebab ketuhar gelombang mesti dibuang

Perhatikan fakta hasil kajian klinikal saintifik Swiss, Jerman dan Rusia di bawah ini:
*** Makan makanan yang melalui proses ketuhar gelombang mikro menyebabkan kerosakan otak dalam jangka panjang iaitu ia 'memendekkan' utusan elektrik di dalam otak (depolarizing atau demagnetizing tisu otak).
*** Badan manusia tidak mampu meleraikan (metabolize) bahan makanan yang dimasak/dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro.
*** Pengeluaran hormon lelaki dan perempuan terhenti dan/atau berubah dengan mengambil makanan gelombang mikro.
*** Kesan makanan gelombang mikro sebenarnya ibarat sisa/sampah di dalam badan manusia.
*** Mineral, vitamin dan khasiat makanan gelombang mikro berkurang atau berubah.. Jadi badan kita dapat sedikit sahaja manfaat makanan. Badan kita juga menyerap kompaun-kompaun yang berubah itu, dan tidak dapat meleraikannya.
*** Mineral-mineral di dalam sayuran berubah menjadi radikal bebas yang menyebabkan kanser apabila dimasak/dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro.

Ini antara punca mengapa pengidap kanser meningkat.
*** Makanan gelombang mikro menyebabkan ketumbuhan kanser di dalam perut dan usus-juga menjadi punca meningkatnya penghidap penyakit ini.
*** Makan makanan gelombang mikro berpanjangan menyebabkan sel-sel kanser meningkat di dalam darah manusia.
*** Makan makanan gelombang mikro secara berterusan juga menyebabkan merosotnya sistem imun melalui kelenjar limpa dan pengubahan serum darah.
*** Makanan gelombang mikro menyebabkan hilang daya ingatan, tumpuan, kestabilan emosi dan mengurangkan kecerdikan.

Fikirkan

Pernahkah kita terfikir mengapa anak-anak kita hari ini degil, keras dan gelap hati? Atau kerap berlaku 'haruan makan anak' serta amalan seks luar tabi'i? Atau pernahkah terlintas di benak fikiran kita, mengapa makin ramai yang cenderung menukar jantina - perempuan mahu jadi lelaki dan yang lelaki mahu jadi perempuan?

Fenomenanya krisis identiti dan gender kini menular dan semakin menjadi kelaziman. Antara sebabnya ialah kecelaruan hormon di dalam badan yang selain disebabkan makan makanan yang berstatus syubhah, juga berkemungkinan besar berpunca daripada makanan yang ditelan melalui proses gelombang mikro.

Selain pengusaha restoran, siapa lagi yang menghidangkan makanan yang mengancam kesihatan ini kalau bukan kita sendiri? Kitalah isteri, kitalah ibu yang kononnya sentiasa siuk. Maka ketuhar gelombang mikrolah yang kita sandarkan untuk pantas menyediakan makanan keluarga tersayang.

Jika di rumah kita ada ketuhar ini dan telah tahu akan bahayanya, hentikanlah penggunaannya. Hanya mereka yang zalim sahaja sanggup menggadai nyawa sendiri dan ahli keluarganya. Jika anda sedang berkira-kira mahu membeli ketuhar gelombang mikro, lupakan niat itu. Laburkan duit anda itu untuk sesuatu yang lebih bermanfaat untuk kesihatan keluarga. Jangan kita menjadi pembunuh kepada keluarga melalui penggunaan ketuhar gelombang mikro dengan memberi mereka makan makanan yang mengancam nyawa!

Wednesday, July 29, 2009

Smart Coco A+

Smart Coco A+ ( SILA KLIK)


UNTUK MAKLUMAT LANJUT SERTA PESANAN ...





SILA HUBUNGI:






ZAMHARIRI ZAKARIA


NO TEL : 013 - 9849473








BAGI KAWASAN TEMERLOH & BERA SAHAJA...

Thursday, July 23, 2009

Matahari menangisi penderhakaan penghuni bumi terhadap Allah

GERHANA matahari yang menyelubungi sebahagian mukabumi pada Rabu (22 Julai) dihitung sebagai yang paling lama dalam abad ini. Ia dapat dilihat secara maksimum selama enam minit dan 39 saat di beberapa bahagian dunia, terutama sekitar India, China dan Jepun.

Menurut rekod pakar kaji bintang, kali terakhir berlakunya gerhana penuh sebelum ini ialah pada Ogos 2008. Kejadian itu dapat dilihat selama dua minit dan 27 saat.

Ada pun di rantau sekitar negara kita gerhana matahari yang berlaku kali ini hanya separa dan dapat dilihat secara minimum sahaja. Ia memang sukar dicerap dengan mata kasar memandangkan hanya tidak sampai 18 peratus permukaan matahari dilindungi bulan.

Sementara penduduk dunia lebih cenderung membicarakan gerhana matahari sebagai fenomena astronomi dan keganjilan alam, agama Islam pula mengajar umatnya menjadikan kejadian yang amat jarang berlaku itu sebagai peluang manusia mengagumi qudrat (kekuasaan) dan iradat (kehendak) Yang Maha Menjadikan.

Di dalam al-Quran, Allah Ta'ala beberapa kali menyebut tentang kekuasaannya ke atas kejadian langit, bumi dan apa juga yang ada di antara kedua-duanya. Tidak ada seinci pun dari alam cakerawala ini yang bebas dari jajahan takluk Allah, termasuk bulan, bintang dan matahari.

Al-Quran juga memperincikan tabiat bulan dan matahari yang masing-masing beredar di atas paksi tersendiri. Kedua-dua makhluk itu tunduk dan patuh kepada ketentuan Allah. Antaranya sebagaimana firmanNya dalam Surah Yaasin 36: 38-40:

"Dan (sebahagian dari dalil kekuasaan Allah ialah) matahari. Ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya. Itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui.

"Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.

"(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing."

Menginsafi betapa setiap kejadian di alam ini adalah tanda dan bukti kekuasaan Allah, maka Islam menganjurkan cara tersendiri untuk umatnya menyambut kehadiran gerhana, sama ada matahari atau bulan. Kita digesa berkumpul mendirikan solat khusus sempena gerhana.

Di kalangan orang-orang tua dulu, mereka ada cara tersendiri untuk menafsirkan setiap kali kejadian gerhana, sama ada matahari atau bulan. Mereka membahasakan gerhana bulan itu sebagai "bulan sakit", manakala gerhana matahari sebagai "matahari marah" atau "matahari menangis".

Ketuk batang pokok

Ada pula berbagai upacara dibuat sewaktu melihat gerhana yang entah diceduk dari ajaran kitab atau agama mana. Antaranya ialah mengetuk batang pokok yang tidak mahu berbuah. Kononnya ketukan itu dapat membuang sifat malas berbuah yang mendiami pokok itu.

Ada banyak lagi cerita dan pegangan yang bertradisi dalam masyarakat dahulu kala berkaitan gerhana. Namun dengan peredaran zaman dan disebabkan kejadian gerhana itu terlalu jarang berlaku, adat dan kepercayaan itu tidak begitu diwarisi oleh generasi sekarang.

Apa yang lebih menguasai pemikiran masyarakat dunia hari ini ialah teori dan pembuktian saintifik. Bahawa gerhana matahari adalah fenomena astronomi yang berlaku apabila bulan berkebetulan melintasi hadapan matahari di waktu siang. Bayang bulan yang jatuh ke mukabumi menghasilkan kegelapan.

Namun, sepertimana dinyatakan Allah Ta'ala di dalam firmanNya yang dipetik tadi, "matahari tidak mudah baginya mengejar bulan". Pun begitu, soal mudah atau tidak sebenarnya tertakluk kepada kuasa Allah jua.

Begitu juga, oleh kerana kedua-dua planet itu "beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing" mengikut ketentuanNya, maka wajib juga diimani bahawa jika Dia menghendakinya Dia juga Maha Berkuasa sesekala melencongkan peredaran mereka dari tabiat biasa itu.

Dalam mengagumi kekuasaan Tuhan ini, penulis teringat satu ceramah agama yang secara tidak langsung menyentuh soal matahari. Ustaz yang memberikan ceramah menghuraikan ayat berhubung tanda-tanda kekuasaan Allah ke atas penciptaan langit, bumi, bulan, bintang dan matahari.

Katanya, dengan qudrat dan iradat Allah, matahari mengelilingi bumi tanpa henti. Namun ada ketikanya matahari mengadu kepada Allah Ta'ala. Sebagai makhluk yang tunduk patuh tanpa engkar kepada Tuhan, matahari "menangis" dan meminta izin Allah Ta'ala untuk tidak lagi terus menyinari bumi.

Ia sangat kecewa dan merasa seolah-olah nikmat cahaya yang dipancarkannya tanpa jemu kepada penghuni bumi telah tidak dihargai apabila penghuni bumi tetap kufur dan derhaka terhadap Alah Ta'ala.

Namun permintaan matahari itu tidak diizinkan Allah. Dia sebaliknya menegaskan kepada matahari, "kamu sempurnakanlah tugas kamu (terus beredar dan bersinar). Ada pun soal keengkaran dan penderhakaan penghuni bumi itu biarlah Aku menanganinya dengan cara lain." Moral cerita ini amat dalam. Ia antara lain mengajar kita bahawa di dalam melaksanakan suruhan dan larangan Allah, kita makhluk mesti menunjukkan ketaatan mutlak. Meski pun suruhan Tuhan itu bertentangan dengan pendapat atau nilaian kita, itu bukan pilihan untuk kita tinggalkan apa yang telah diarahkan Allah Ta'ala.

Dari sudut pandang berbeza, jika gerhana matahari itu boleh diistilahkan sebagai "matahari menangis", maka menjadi tanggungjawab kita manusia membahasakan sebab-musabab tindakan matahari itu. Untuk itu kejadian gerhana matahari wajar dijadikan peringatan agar kita tidak terus engkar dan derhaka terhadap Rabbil Alamin._

DARIHAL ISRA' & MIKRAJ

Isra' Mikraj adalah antara proses kematangan kerohanian Rasulullah s.a.w dalam menempuh perjuangan baginda. Ketika ini, seluruh tubuhnyadibalut keletihan. Jiwanya dibungkus keresahan.

Letih, lesu dan resah gelisah yang berkubang di jiwa raganya dipendam bersendirian saat mengenang apakah lagi malang nasib yang jatuh ke atasnya bertimpa-timpa pada masa-masa yang akan datang.

Khadijah, saudagar wanita, penyokong sendi kekuatannya telah wafat. Abu Talib, bapa saudaranya, tonggak perjuangan dan penampan kepada serangan kafir Quraisy telah pun pergi meninggalkannya.

Selama ini, rasa segan terhadap Abu Talib dalam kalangan musyrikin itulah yang menyelamatkannya daripada serangan yang berlaku akibat dakwah itu.

Bermodalkan kedudukannya sebagai anak saudara Abu Talib, maka tiada sesiapa pun yang berani menyentuh baginda.

Tetapi keadaan telah berubah kini. Dengan kewafatan Khadijah disusuli pemergian Abu Talib, akar tunjang dan tonggak kekuatan lambang keutuhan perjuangan dakwah baginda telah hilang.

Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut sebagai 'Tahun Kesedihan' ('amul huzni).

Bayangkan, bagaimana baginda dapat menempuh kehidupan ini bersendirian dengan Fatimah yang masih kecil. Apalah sangat yang mampu dilaksanakan gadis sekecil itu melainkan dengan menyapu najis unta yang dilumurkan ke atas kepala baginda ketika sedang bersujud di depan Kaabah.

Allah maha besar! Allah maha berkuasa. Tidak sesekali Dia meninggalkan kekasihNya dihimpit derita itu bersendirian. Sudahlah ketika kecilnya dia kehilangan bapa ketika masih dalam kandungan, malah al-Amin juga ditinggalkan oleh ibu dan datuknya ketika masih kecil.

Kini, menjelang dewasa, ketika dia diarahkan Tuhan untuk menyebarkan dakwah, maka dia diuji dengan rasa bersendirian menanggung bebanan dakwah ini.

Bagi tujuan menghibur baginda, dan atas tujuan mengingatkan pertalian perjuangan risalah ini yang ada kaitan dengan perjuangan nabi terdahulu, maka itulah antara sebabnya kenapa baginda dijemput Tuhan ke langit tertinggi.

Isra' Mi'raj adalah suatu peristiwa yang teragung dalam bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, beramai-ramai ke Madinah.

Ertinya, Isra' Mi'raj adalah 'turning point', titik permulaan Islam mula bertapak di Mekah, solat mula diisytiharkan sebagai suatu amalan dan ketika itu hidup Muslimin penuh dengan riwayat sengsara dan gangguan sehingga memaksa mereka mencari perlindungan di Madinah. Lalu, dengan itu terbentuklah sebuah Negara Islam yang pertama di dunia.

Ini kerana, sejurus kembalinya baginda membawa khabar berita, gambaran peristiwa langit, maka baginda dicela Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri. Bermula saat itu, tekanan ke atas baginda telah bermula. Itu perkara yang pertama.

Yang kedua, Isra' Mi'raj adalah satu 'turning point' di mana Islam itu terasas dengan begitu kukuh oleh kerana telah termaktub suatu resolusi dari langit mengenai kefardhuan solat yang mana sebelum itu, solat belum lagi diperkukuhkan sebagai suatu amalan yang wajib.

Tiga pihak, dua kejadian

Resolusi mengenai kewajipan solat itu melibatkan tiga pihak, dua kejadian. Pihak yang terlibat dalam hal 'mewajibkan' solat itu ialah Allah s.w.t, Nabi Musa a.s yang berunding dengan Rasulullah s.a.w dan hasil ulang-alik Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah s.w.t untuk mengurangkan jumlah bilangan solat fardhu tersebut.

Selain itu, dua peristiwa yang menyebabkan timbul rasa ghairah supaya diwujudkan suatu mekanisme perhubungan langsung antara manusia dengan penciptaNya, ialah kerana baginda telah menyaksikan gelagat para malaikat yang telah bersujud, rukuk kepada Tuhan dengan lain-lain perbuatan yang mirip kepada solat hari ini.

Peristiwa kedua, ialah ketika Nabi Muhammad s.a.w sendiri diangkat menjadi imam untuk mengerjakan solat di mana para makmum di belakangnya adalah nabi-nabi yang terdahulu sebelum baginda.

Lalu, terfikir di benak baginda, alangkah baiknya jika diwujudkan suatu mekanisme yang menyebabkan manusia sentiasa dapat berhubung dengan Tuhannya lewat ibadat tersebut.

Keghairahan Rasulullah s.a.w mengenai solat itu tergambar ketika hampir tiba saatnya baginda wafat. Di bibir baginda hampir tidak lekang menyebutkan, "Ummati.. as-Solah.." (Umatku.. sembahyang..)

Betapa tidak! Nabi Muhammad s.a.w telah naik ke langit menyaksikan malaikat bersujud hingga baginda tentang bagaimana mahu umatnya bersujud sebegitu rupa dengan tempoh lama dan penuh semangat.

Tetapi, amalan berat seperti solat ini telah diminta dikurangi oleh Musa a.s apabila nabi itu teringatkan pengalaman Bani Israel yang berat menerima perintah solat tersebut.

Sebab itu, kita dapatlah memahami kenapa sampai begitu tebal sekali baginda mengingatkan hal tersebut kepada umatnya berhubung solat, hatta ketika hampir wafat sekali pun. Tidaklah disebut hal zakat, puasa dan lain-lainnya, melainkan solat itulah yang kerap diperingatkan baginda.

Pembebasan Palestin

"Maha suci Allah yang membawa hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa (Palestin) yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah juga yang amat mengetahuinya." (Surah al-Isra': 1)

Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diarah Jibril agar berhenti, bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s dilahirkan).

Unsur kesengajaan memang wujud di sini walaupun dalam nas di atas, hanya perihal Israk sahaja yang dihebahkan Tuhan. Langsung sahaja Tuhan menyebut tempat berlepas Rasulullah s.a.w itu dari Masjidil Aqsa yang kini berada dalam tahanan Yahudi Zionis.

Seolah-olah Tuhan mahu beritahu kita sesuatu, apakah tindakan kita untuk membebaskan Masjid al-Aqsa? Sebagai Muslimin individu yang terhad kuasanya, kita mungkin boleh diampunkan dengan sebab kita telah mengeluarkan wang ringgit untuk membantu seadanya, termasuk menggesa negara berbuat sesuatu tanpa melibatkan PBB.

Yang patut menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak ialah para pemimpin negara Islam yang tunduk berdiam diri dan hanya bertawakal kepada PBB untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

Syahadan, mungkin tak perlu diletakkan perihal mi'raj ke langit oleh sebab langit itu tiada nama yang khusus seperti halnya di bumi. Tapi, sengaja disebutkan Masjidil Aqsa guna menyentuh hati nurani Muslim agar peka ke atas pergolakan di sana yang berombak dengan lautan darah dan membadai dengan air mata.

Pada zaman ini, kita boleh saja menaiki pesawat terbang ke udara. Perihal naik ke udara itu tidak perlulah ditekankan sangat sebab kawasan langit dan laluan udara tempat laluan pesawat itu tidak penting sangat untuk diketahui.

Yang penting diketahui adalah tempat di mana pesawat kita mahu berlepas (departure) dan tempat di manakah pesawat itu bakal mendarat (landing). Ertinya, terbang ke awan itu sudah diketahui umum, tapi yang diperkirakan orang ketika mahu berpergian ke mana-mana ialah di tempat mana pesawat mereka mahu berlepas dan di tempat mana ia akan mendarat.

Sebab itu, kita jangan hairan kenapa nas itu tidak menghebahkan soal mi'raj, sebaliknya cuma menyebut tempat berlepas ketika Isra' (berjalan malam). Tuhan menyebutkan Masjidil Aqsa itu bererti, tempat itu amat penting dan bernilai.

Sebagai termaklum, selepas peristiwa Isra' Mi'raj, solat difardhukan. Tempoh daripada kisah itu hingga penghijrahan ke Madinah memakan masa selama setahun. Dan, ketika di Madinah juga, Muslimin masih berkiblat kepada Masjidil Aqsa.

Maka, sebelum mendapat arahan bahawa Muslimin wajib solat fardhu lima waktu, Nabi Muhammad s.a.w diminta 'berkenalan' terlebih dahulu dengan kiblat pertama kita di Baitul Maqdis itu, sebuah daerah kelahiran Nabi Isa a.s dan tempat Nabi Musa a.s menempatkan Bani Israel dalam sebuah negara merdeka dalam riwayat-riwayat terakhir perjuangan dakwahnya.

Maka, sejurus tibanya baginda ke Mekah, ketika itulah bermulanya solat dengan kiblat terarah ke Masjidil Aqsa; kiblat pertama yang mana Nabi Muhammad s.a.w telah diperkenalkan terlebih dahulu dengannya sebelum ini.

Seolah-olahnya, sebelum menerima perintah solat yang wajib itu, Tuhan juga mahu berbicara kepada kekasihnya, "Inilah nantinya yang akan menjadi kiblat umatmu kelak!"

Mirip kisah tarbiyah Musa - Khidhir

Perjalanan kerohanian Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril a.s itu mirip kepada tarbiyah Khidhir a.s ke atas Musa a.s dalam surah al-Kahfi. Dalam perjalanan, ada saja penglihatan yang terbentang dan pengajaran yang baginda lihat.

Diriwayatkan bahawa baginda telah menyaksikan golongan yang sedang bertani dam terus menuaikan hasil pertaniannya.

Baginda juga menyaksikan tempat berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, kaum sedang memecahkan kepala, kaum yang menutup kemaluan dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah berbau busuk.

Rasulullah dibawa ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim yang sedang berada di Baitul Ma'mur bersama beberapa kaumnya.

Rasulullah s.a.w juga melihat golongan yang sedang menanggung satu bebanan. Ketika bebanan itu berat, mereka menambah lagi bebanan itu sehingga mereka tidak terdaya lagi menanggungnya.

Demikian iktibar ke atas penguasa yang tidak kuat menanggung amanah rakyat, tapi masih sanggup lagi menanggung amanah rakyat yang akhirnya menyebabkan mereka menderita azab yang parah di akhirat kelak.

Demi sesungguhnya, iktibar dan pengajaran Isra' Mi'raj ini tak akan sampai tamat diulas kerana falsafahnya sangatlah kaya sekali sehinggakan kita tidak akan jemu-jemu meneliti kisah ini.

Sebuah kisah yang sarat dengan inti pengajaran dan padat dengan iktibar khususnya kepada pemerintah yang masih enggan menginsafi segala kejahatan yang dilakukannya selama ini sehingga mengundang musibah besar ke atas rakyatnya pula.

Tuesday, July 21, 2009

Manusia Paling Kerdil Di Dunia


DENGAN ketinggian kira-kira 61 sentimeter, Khagendra Thapa Magar hanya perlu menunggu empat bulan lagi untuk diisytiharkan sebagai lelaki paling kerdil di dunia.

Tidak sabar-sabar menanti hari ulang tahun kelahirannya yang ke-18 Oktober depan, Khagendra dan keluarganya sudah menjalin hubungan dengan Guinness untuk mengambil alih secara rasmi gelaran itu daripada He Ping Ping dari China yang setinggi 74 sentimeter.

Bagaimanapun, Khagendra yang seberat 4.54 kilogram seolah-olah sudah menjadi selebriti di negara kelahirannya, Nepal. Tokoh politik turut ghairah untuk melihat Khagendra diiktiraf sebagai lelaki paling kerdil di dunia. Penduduk kampungnya pula menggelarnya ‘Buddha kecil’. Dia dilahirkan 17 tahun lalu di daerah Baglung, 200 kilometer dari Kathmandu, ibu negara Nepal. Sejak kecil lagi keluarganya dapat berasakan dia akan menjadi terkenal dan berjaya dalam hidup walaupun kerdil. “Ketika dilahirkan, beratnya hanya 600 gram,” kata ibunya, Dhana Maya Thapa Magar, 33. “Ia seperti melihat anak ayam yang keluar dari telur yang baru menetas. Saya mengaku pada mulanya saya malu dan tidak mahu keluar rumah. Namun kini hanya kebanggaan yang tersemat di hati saya dan begitu mengharapkan dia dinamakan lelaki paling kerdil di dunia.” Walaupun punca kekerdilannya tidak pernah disahkan secara perubatan, namun doktor di Nepal yang memeriksa Khagendra percaya ia disebabkan oleh kelenjar pituitari yang tidak berfungsi. Jika tidak kerana masalah itu, dia dianggap sihat. Sementara itu, keluarganya mewujudkan Yayasan Khagendra Thapa Magar untuk mempromosi usahanya bagi diisytiharkan lelaki paling kerdil di dunia. “Dia sudah terkenal di seluruh Nepal dan India,” kata bapanya, Rupp Abrader Thana Magyar, 36. “Dia menyertai kumpulan tarian dan menjelajah ke beberapa tempat supaya orang boleh melihatnya. Dia melakukannya beberapa kali setahun dan kini kami berharap dia akan disahkan sebagai lelaki paling kerdil.” Menurut ibu bapanya, Khagendra berhenti membesar tahun lalu dan mereka menjangka ketinggiannya akan kekal seperti sekarang. “Walaupun dia kecil, kami tetap bangga dengannya,” kata Rupp. Jika dia mengambil alih gelaran itu, Khagendra akan menggantikan tempat Ping Ping yang kini berusia 20 tahun dan menetap di wilayah Guade, China. Khagendra memohon kepada Guinness pada 2006 ketika dia berusia 14 tahun, tetapi permohonannya ditolak kerana masih di bawah umur. “Kami sudah menanti tiga setengah tahun. Hanya tinggal empat bulan sebelum impian itu tercapai. Ketika menemui Menteri Luar, Sujata Koirala baru-baru ini, dia berjanji untuk menyokong hasrat kami,” kata Rupp. Khagendra yang menghadapi masalah untuk bersandar, baru-baru ini memasuki tadika di kampungnya untuk belajar menulis dan membaca. “Saya tinggal di sekolah dan belajar lima hari seminggu. Pada hujung minggu, saya pulang ke kedai buah-buahan ayah saya di Pokhara dan membantu mereka berniaga,” kata Khagendra. Mengenai kegemarannya, Khagendra berkata, dia minat menonton rancangan karate di televisyen ketika di rumah dan menanam impian untuk menjadi penari paling terkenal di dunia sedikit masa lagi. Sejak mula mendapat tumpuan hampir empat tahun lalu, dia terbabit dengan pelbagai publisiti yang bertujuan mendapat pengiktirafan rasmi daripada Guinness. “Sebaik saja saya dinobatkan sebagai lelaki paling kerdil, saya akan dapat memenuhi impian untuk melawat Amerika Syarikat. Saya boleh pamerkan tarian saya dan juga tunjukkan kecekapan saya dalam karate,” kata Khagendra. Walaupun perkembangan mentalnya tidak sama dengan rakan seusianya, Khagendra masih mempunyai perasaan terhadap gadis cantik. “Satu daripada perkara yang paling menyeronokkan ketika mengikuti kumpulan tarian ialah saya boleh melihat gadis di Kathmandu. “Mereka sungguh cantik dan pakaian mereka juga jauh berbeza dengan pakain gadis di kampung saya,” katanya.