Monday, May 20, 2013

Air Keluar Dari Jari Jemari Rasulullah SAW

Anas bin Malik r.a. menceritakan bahawa satu ketika semasa berada di Zaura’, Baginda telah menyuruh para sahabat berwuduk dengan air yang sedikit. Ini berlaku setelah Baginda s.a.w. meletakkan tapak tangan Baginda dalam air itu, maka dengan tiba-tiba air memancar deras dari celah-celah jari Baginda. Kejadian itu berlanjutan hinggalah mereka semua selesai berwuduk. “Berapakah jumlah kamu pada masa itu?” tanya saya (perawi) pada Anas. Jawabnya: “Kami seramai tiga ratus orang.” (Riwayat Muslim no. 6082 dan al-Baihaqi dalam al-Dalail, 6/ 136)
Dalam riwayat yang berbeza, daripada Abdillah, dia berkata ketika kami dalam perjalanan bersama Nabi s.a.w. kami telah kehabisan air. Rasulullah bertanya, “Siapakah dalam kalangan kamu yang memiliki air?” Setelah kami menemui orangnya, kami menyerahkan air itu kepada Nabi s.a.w. Air itu kemudiannya dicurahkan olehnya ke dalam sebuah wadah. Setelah itu Baginda meletakkan tapak tangan Baginda ke dalam wadah itu. Secara mendadak terbitlah air dengan derasnya dari hujung jarinya. Baginda bersabda yang bermaksud, “Marilah kita berwuduk bersama-sama dengan air yang diberkati Allah ini!” Daripada air itu jugalah saya minum dengan sepuas-puasnya dan memberikan minum kepada orang lain yang memerlukannya. (Riwayat al-Bukhari no. 200 dan al-Baihaqi dalam Sunannya no. 118)
Ibn Abbas r.a. pula menceritakan tentang pengalamannya kehabisan air semasa dalam perjalanan bersama Nabi s.a.w. Seorang tentera yang turut serta telah memaklumkan keadaan itu kepada Nabi s.a.w. Nabi lantas bertanya, adakah kamu mempunyai sedikit air? Orang itu menjawab: “Ya wahai Nabi!” Rasulullah lantas bersabda yang bermaksud: “Bawakanlah ia kepadaku.”
Maka orang itu pun membawakannya kepada Nabi s.a.w. Baginda kemudiannya meletakkan jari-jemarinya di bibir wadah sambil merenggangkannya. Secara tiba-tiba didapati sumber air yang memancar dari celah-celah jarinya. Nabi s.a.w. kemudian mengarahkan kepada Bilal untuk mengumumkan kewujudan air untuk berwuduk.
Dalam riwayat yang lain daripada Qatadah daripada Anas r.a., jumlah tentera yang turut serta mendapat keberkatan berwuduk dan untuk minuman pada hari itu adalah tujuh puluh hingga lapan puluh orang. (Riwayat al-Bukhari no. 3572)
Dalam peristiwa al-Hudaibiyyah pula, Jabir bin Abdillah r.a. meriwayatkan semua rombongan dapat minum dan berwuduk dengan air yang terpancar dari celah-celah jari Nabi s.a.w. Padahal kuantiti air yang mengalir itu sebenarnya mampu digunakan oleh beberapa orang sahaja.
Dalam hadis yang lain yang turut diriwayatkan oleh Jabir r.a. bahawa Rasulullah telah mengatakan kepada Jabir agar berpesan kepada kaum Muslimin supaya tidak meninggalkan wuduk. Jabir berkata, “Saya cuba menjelaskan halangan yang menyebabkan mereka tidak mengambil wuduk, iaitu kerana ketiadaan air, walaupun setitis.” Rasulullah s.a.w. telah menyuruh saya menemui seorang sahabat daripada kalangan Ansar yang sentiasa membekalkan air untuk Nabi s.a.w. Setibanya saya di rumah sahabat itu saya mendapati hanya sedikit air yang tinggal dalam girbah (bekas air yang dibuat daripada kulit). Jika ia tertumpah tentulah air minumnya akan kehabisan. Rasulullah menyuruh saya membawakan bekas itu kepadanya. Baginda kemudiannya memegang girbah itu dan menadah tangannya berdoa. Kemudian Baginda meminta saya menuangkan air itu ke dalam sebuah mangkuk besar. Setelah saya mendapatkannya menerusi pemberian seseorang, mangkuk itu saya berikan kepada Nabi s.a.w.  Baginda meletakkan kedua-dua tangannya di atas mangkuk itu sambil merenggangkan jari-jemarinya. Sebaik sampai tangannya di bawah mangkuk itu, Baginda bersabda yang bermaksud: “Hai Jabir! Terapkan mangkuk itu kepadaku sambil membaca bismillah.” Maka saya pun melakukan mengikut suruhan Baginda. Tidak semena-mena saya melihat air terbit dari celah-celah jari Rasulullah s.a.w. Kemudian Baginda memisahkan mangkuk itu dari tangannya. Air keluar terus-menerus secara berputar-putar dari tangan Baginda hingga memenuhi mangkuk itu. Setelah itu Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hai Jabir! Jemputlah sesiapa sahaja yang memerlukan air.” Saya telah memanggil sahabat kesemuanya dan mereka telah minum hingga puas. Selepas itu Rasulullah mengangkat tangannya daripada mangkuk itu. (Riwayat Muslim no. 3580)
sumber: SOLUSI

No comments:

Post a Comment