Islam -
sebagaimana yang telah dijelaskan- adalah agama Tauhid yakni agama yang
berasaskan iman kepada keEsaan Allah Yang Maha Kuasa. Maka
ukuran sempurna atau tidaknya Islam seseorang adalah bergantung
kesempurnaan Tauhidnya.
Tauhid
yang sempurna itu apabila ke dalam hati nurani seseorang
akan melahirkan kesan-kesannya kepada seluruh tingkah laku dan bawaan
hidupnya, dan akan memberi kesedaran kepadanya
untuk sentiasa waspada terhadap godaan syaitan dalam setiap amalannya
supaya ia tidak diselewengkan kepada yang lain dari Azza wa Jalla.
Boleh
dikatakan sebahagian besar dari orang-orang
yang mengaku dirinya beriman dan bertauhid
kepada Allah dan mengakui bahawa Allah jualah yang mencipta mereka
dan menciptakan langit dan bumi tetapi tauhid mereka tidak penuh
membulat kepada Allah Yang Maha Esa kerana ada di antaranya -semasa
mengerjakan ibadat- tujuan ibadat itu tidak bersih kepada Allah
semata-mata.
Ada pula yang
menumpukan taat setia kepada Allah dengan menjalankan hukum-hukum
syariat-Nya tetapi serentak dengan itu mereka mengubah hukum syarak itu
dengan menokok tambah atau menguranginya menurut hawa nafsunya. Semuanya
itu adalah merupakan syirik.
Bagi
menjelaskan setakat mana buruknya akibat syirik itu, maka di bawah ini
diturunkan beberapa ayat suci dan hadis Nabi mengenainya.
Di antara ayat-ayat itu:
Firman Allah
Taala ertinya: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Marilah supaya aku bacakan
apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah
kamu sekutukan dengan Dia sesuatu pun ...'(151 Surah al-Maidah)
"...
Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang
lain) maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat
kembalinya ialah neraka ...." (72 Surah al-Maidah)
" ... Dan
sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan lain Allah maka
seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh rombongan burung
(sehingga ia hancur berkecai-kecai) atau dihumban oleh angin ke tempat
yang jauh (yang membinasakan)" (31, Surah al-Hajj)
"Oleh itu,
sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,
hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia
mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (110 Surah
al-Kahfi).
Ayat yang pertama: Menyatakan
hukum melakukan syirik, iaitu Allah s.w.t. mengharamkan manusia
melakukan sebarang
rupa syirik, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.
Ayat yang kedua: Menyatakan balasan buruk yang dijanjikan kepada orang yang melakukan syirik.
Ayat yang ketiga: Menggambarkan bagaimana dahsyatnya keadaan dan balasan orang yang melakukan syirik.
Ayat yang keempat: Menyatakan
bahawa dengan amalan salih serta ketiadaan syirik sahajalah
yang membolehkan seseorang berharap mendapat nikmat mengadap Tuhannya.
Perkara : Akibat Buruk Yang Akan Menimpa Orang Yang Melakukan Syirik
Dan di antara hadis-hadis pula:
5- عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَاتَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ
شَيْئًا دَخَلَ النَّارَ. (البخاري ومسلم )
5-
Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w, bersabda:
"Sesiapa mati dalam keadaan melakukan sebarang syirik terhadap Allah,
masuklah dia ke dalam neraka. "
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kelima ini. menerangkan:
Akibat buruk yang akan menimpa orang yang melakukan syirik.
Huraiannya
Syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah Taala pada sifat "Uluhiyah"Nya atau sifat "Rububiyyah"Nya.
Sifat
"Uluhiyah" Allah `Azza wa Jalla ialah sifatNya berhak disembah,
dicintai, dipatuhi perintahNya, ditumpui dan dipohonkan
untuk mendapat segala kebaikan dan menolak sebarang mala petaka dan
perkara-perkara yang tidak diingini.
Sifat
"Rububiyyah"Nya pula ialah sifat mentadbir
dan menguruskan cara menjaga dan memelihara, mengasuh dan mendidik
sekalian alam yang telah diciptakan-Nya, iaitu
dengan mengadakan segala keperluan yang dihajati oleh wujud tiap-tiap
satunya, mengatur dan menyusun undang-undang dan peraturan bagi
kesuburan, perkembangan dan kesempurnaan masing-masing, serta menyatakan
dan menunjukkan hukum-hukum halal haram dan sah batal
untuk kebaikan jasmani dan kebahagiaan rohani manusia.
Maka sesiapa
yang menganggap bahawa mana-mana satu dari sifat-sifat itu ada pada
sesuatu yang lain daripada Allah Taala nescaya ia telah melakukan syirik
dengan Allah, walaupun ia pada masa itu masih beriman kepada Allah.
Tentang ini Allah Taala berfirman dalam Surah Yusof, ayat 106.
maksudnya: Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah dalam pada
itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik.
Dengan itu
nyatalah amat buruknya seseorang mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan
mengasihinya dan menurut perintahnya sebagaimana ia mencintai
dan mentaati Allah, atau meminta dan mengharapkan hasil sesuatu hajat
dari sesuatu makhluk atau dengan sesuatu cara, kecuali setelah
diketahui bahawa makhluk atau cara yang tersebut diharuskan oleh Allah
bagi seseorang menggunakannya sebagai jalan, sebab, atau alat untuk
menjayakan maksudnya.
Demikian juga
amatlah salahnya menerima sebarang undang-undang dan peraturan, atau
hukum-hakam yang diadakan oleh yang lain daripada Allah, kecuali sekadar
yang berdasarkan aturan, kenyataan, atau pengajaran yang dibawa
oleh Rasulullah s.a.w.
Kesimpulan hadis ini,
mengingatkan manusia daripada terjerumus ke dalam sebarang i'tiqad
atau perbuatan syirik supaya terselamat daripada balasan buruk yang
dijanjikan.
6- عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ ... . ( البخاري ومسلم )
6- Dari Abu
Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhkan dan
singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan. " Sahabat-sahabat
Baginda bertanya: "Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah? "
Baginda s.a.w.menjawab: "(Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah
melakukan syirik terhadap Allah .
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang keenam ini memerintahkan supaya:
Menjauhi syirik dalam segala bentuknya.
Setelah
kita mengetahui setakat mana buruknya akibat syirik, maka dengan ini
kita diperintahkan supaya menjauhi dan menyingkirkan segala jenis syirik
terhadap Allah, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.
Syirik
yang besar atau yang nyata itu ialah: mempercayai adanya sesuatu
yang setara dan sebanding dengan Allah s.w.t., yang ditujukan
kepadanya doa permohonan, yang diuntukkan kepadanya
satu-satu cara ibadat, dan yang ditakuti bala bencananya.
Dengan adanya
syirik yang demikian, maka akidah Tauhid orang yang melakukannya telah
berbelah bagi, dan orang Musyrik inilah yang dijanjikan Allah
dengan neraka.
Syirik yang
kecil atau yang tersembunyi itu pula
ialah kepercayaan perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya
syirik terhadap kekuasaan atau undang-undang peraturan Allah.
Syirik yang tersembunyi itu amat banyak, di antaranya:
(1) Membesarkan
diri sendiri ,yakin kepada diri tidak yakin kepada ALLAH dahulu
,merujuk segala hal kepada diri bukannya bermohon kepada ALLAH mencari
penyelesaian
(2) Mempercayai sesuatu yang menjadi sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan baik atau buruk.
(3) Menaruh perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah.
(4) Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain dari Allah.
(5) Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atausifat Allah.
(6) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana pertolongan Allah dan pertolongan Si anu, tentulah aku tidak berjaya.
(7) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda atau sebagainya, tentulah rumahku dimasuki pencuri.
(8) Melakukan
sesuatu ibadat, atau daya usaha pengorbanan, atau perjuangan bukan
kerana menjunjung perintah Allah semata-mata, tetapi juga untuk
tujuan-tujuan yang lain.
7- عَنْ
مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ
عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا
رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ
يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا
إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ
تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً. ( الإمام أحمد )
7-
Dari Mahmud bin Labid r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya
menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya:
"Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah? " Baginda
s.a.w., menjawab: "(Syirik yang kecil itu) ialah ria' - Allah Taala
akan berfirman pada hari Qiamat apabila manusia datang dengan amal
masing-masing "Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan ria'
di dunia dahulu (untuk menunjukkan kepada mereka), kemudian lihatlah,
adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"
(Imam Ahmad)
8- عَنِ
ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُما، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ
أَشْرَكَ. ( الترمذي )
8- Dari Ibn
Umar, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada nama
atau sifat Allah maka sesungguhnya ia telah
melakukan syirik terhadap Allah. "
(Tirmizi)
9- عَنْ
ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ
وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ. ( أبو داود والإمام أحمد)
9- Dari Ibn
Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya tawar
jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan
hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah
syirik"
( Abu Daud dan Imam Ahmad)
Hadis yang
kesembilan ini menunjukkan bahawa tiga perkara yang tersebut adalah dari
perkara-perkara syirik kecil atau syirik yang tersembunyi yang wajib dijauhi
oleh tiap-tiap seorang.
Pendeknya,
tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram kiranya
mengandungi perkataan yang tidak difaham maknanya, atau yang
berdasarkan sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis, atau
yang mengandungi benda-benda najis atau kotor.
Dengan penjelasan ini, selesailah perselisihan yang nampak pada zahirnya berlaku di antara dalil-dalil yang melarang dan dalil-dalil yang membenarkan perkara-perkara yang tersebut.
Kesimpulannya, bagi menyelamatkan seseorang daripada syirik yang tersembunyi ini hendaklah:
(1) Jangan
menggunakan sesuatu benda, atau perkataan, ataupun
sesuatu cara sebagai sebab bagi mendapat kebaikan
atau menolak perkara-perkara yang tidak diingini, kecuali setelah
diketahui bahawa sesuatu itu telah berlaku adat Tuhan menjadikannya
sebab bagi musabab yang tertentu, serta diketahui pula bahawa
menggunakan sesuatu itu tidak dilarang oleh hukum Allah.
(2) Jangan
i'tiqadkan sesuatu sebab itu dengan keadaan hakikatnya
memberi kesan menghasilkan musababnya, bahkan memberi kesannya itu
bergantung kepada takdir dan izin Allah Yang Maha Kuasa.
(3) Jangan
melakukan sesuatu amal ibadat dengan tujuan mendapat penghargaan
atau balasan daripada yang lain dari Allah Azza wa Jalla
Perkara : Baginda S.A.W. Menjadi Tumpuan Pertanyaan Sahabat Sahabatnya
10- عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَأَلْتُ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ
عِنْدَ اللَّهِ قَالَ أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ … . ( البخاري ومسلم )
10-
Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Aku telah bertanya
kepadaNabi Muhammad s.a.w.,: "Apakah satu-satunya dosa yang terbesar
di sisi Allah.?" Baginda s.a.w., menjawab: "(Dosa yang terbesar
di sisi Allah itu) ialah: Engkau mengada-adakan bagi Allah sesuatu yang
menyamaiNya pada hal Dia menciptakanmu..."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kesepuluh ini mengandungi:
(1) Rasulullah s.a.w. menjadi tumpuan pertanyaan sahabat-sahabat Baginda.
(2) Syirik adalah satu-satunya dosa yang terbesar.
Huraiannya:
Baginda s.a.w. menjadi tumpuan pertanyaan sahabat sahabatnya.
Junjungan
kita Nabi Muhammad s.a.w. dalam masa menjalankan tugasnya membuka
dengan seluas-luasnya pintu pertemuan dengannya kepada
segalalapisan masyarakat untuk mereka menanyakan apa yang mereka
musykilkan berhubung dengan soal-soal agama.
Dalam hadis ini, Abdullah bin
Mas'ud seorang sahabat Nabi yang terkenal bertanya kepada Baginda
s.a.w. tentang dosa yang terbesar di sisi Allah, iaitu satu perkara
yang sangat mustahak diketahui oleh setiap orang
Islam dalam
setiap masa, lebih-lebih lagi dalam masa - yang boleh
dikatakan-manusia leka dengan soal-soal hidup semata-mata, tidak
mahu mengambil berat mempersoalkan perkara-perkara dosa dan pahala.
Soal syirik.
Bagi menjawab pertanyaan
sahabat Baginda yang tersebut, Baginda s.a.w. menegaskan bahawa di
antara dosa-dosa yang terbesar ialah melakukan syirik terhadap Allah
s.w.t. serta Baginda s.a.w. menerangkan bahawa amatlah tidak patut
seseorang itu mempersekutukan atau menyamakan Allah Taala dengan sesuatu
yang lain, sedang Allah yang menciptakannya dari tiada kepada ada.
Orang Musyrik
yang demikian bukan sahaja tidak patut menurut timbangan akal
yang siuman, bahkan telah berlaku zalim terhadap dirinya sendiri kerana
dengan bawaan syiriknya ia telah mendedahkan dirinya kepada azab seksa
yang tidak terperi yang akan diterimanya kelak.
No comments:
Post a Comment