Friday, May 17, 2013

Luahan Hati Seorang GURU

***INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI SAHAJA.

Semalam saya terbaca sebuah komen seseorang yang mempunyai latar belakang sebagai pendidik. Beliau memberi sedikit komen negatif terhadap insan yang bergelar GURU.

Saya rasa sangat tersentuh hati setelah membaca luahan GURU-guru lain di Facebook sebaik saja sebahagian artikel tersebut dimuatnaik oleh individu yang juga terasa hati dengan komen beliau itu.

Ingin saya berkongsi sedikit tugas GURU selain menjadi pendidik : tugas-tugas yang sebenarnya tidak termaktub dalam mana-mana dasar kerajaan tetapi atas dasar EHSAN seorang insan yang bergelar GURU yang sangat DEDIKASI dan juga atas dasar SAYA YANG MENURUT PERINTAH.

1. Menjadi IBU BAPA kedua

    Seperti yang kita tahu...anak-anak yang suci murni diserahkan bulat-bulat selama setengah hari di Sekolah
    Rendah / Menengah dan setengah hari lagi di Sekolah Agama. Tetapi, kadang-kala nak tegur kesalahan
    anak-anak ini amat sukar sekali. Maklumlah, nak jeling pun dah kena surat amaran dari pihak
    TERTINGGI atau pun IBU BAPA mereka sendiri.

    PERSOALANNYA: Salah GURU jugakah kalau anak-anak ini 'kurang' menjadi?


2. Menjadi KERANI di sekolah

   Sudah terlalu lama kami dibebani dengan kerja-kerja pengkeranian sedangkan semasa kami dilatih untuk
   menjadi pendidik, kami tak pula ambil kursus : SETIAUSAHA. PEMBANTU TADBIR, KERANI
   KEWANGAN, dan sebagainya.

   PERSOALANNYA : Kalau prestasi pelajar menurun, salah kami jugakah?

3. Menjadi TUKANG KEBUN sekolah

    Mungkin ada di antara kami yang minat dengan tumbuh-tumbuhan, tetapi itu tak bermakna kami ingin
    diberi tugas sebagai PENJAGA TAMAN, PENJAGA TAMAN SAINS dan sebagainya.

   PERSOALANNYA:  Kami ni dah tak ada kerja lainkah?

4. Semua perkara perlu DIDOKUMENTASIKAN dalam pelbagai jenis fail, perisian dan sebagainya

    Pada pendapat peribadi saya : kejayaan pelajar itu terletak pada usaha bersama GURU + PELAJAR +
    IBU BAPA. Tapi kalau cikgu ni sibuk mengisi fail yang terlalu banyak dan menyusahkan, bila masanya
    mereka nak menumpukan sepenuh perhatian terhadap persediaan pengajaran dan pembelajaran?
    Maklumlah...fail terlalu banyak nak dilengkapkan. Kalau tak lengkap, bising pula orang tertentu yang ingin
    mendapat nama.

  PERSOALANNYA : Bila masa nak jadi pendidik sejati?

5. Ada guru yang terpaksa menjadi guru SUBJEK LAIN.

   Saya adalah graduan TESL.  Selain daripada BI, saya pernah mengajar BM selama 1 tahun, Sejarah
   selama 2 tahun, PJK selama 6 bulan, Sivik selama 1 tahun, Pend. Moral selama 2 Tahun...dan saya pasti
   ramai lagi senasib dengan saya tetapi apabila diajukan soalan : Dah tak cukup guru, nak buat macam
   mana?

  PERSOALANNYA: Kami ni hanya belajar bidang tertentu, tetapi disuruh mengajar bidang lain...jika
                                    prestasi pelajar menurun, salah kami juga kah?

6. Hujung minggu dihabiskan di SEKOLAH

   Dengan LADAP nya...dengan mesyuarat nya, dengan program yang macam-macam nya : atas dasar
   menaik taraf profesion GURU. Tetapi : masa GURU tersebut dengan keluarga terhad sangat sampai anak-
   anak pun naik bosan dengan aktiviti GURU a.k.a ibu bapa mereka apabila boleh dikatakan setiap hujung
   minggu ada saja aktiviti di sekolah.
   Kalau sekolah tu tengah mengejar nama / sekolah berprestasi tinggi lagi lah...bermalam di sekolah lah
   jawabnya...

   PERSOALANNYA: Pihak berkenaan perasan atau tidak bahawasanya GURU tersebut adalah IBU /
                                    BAPA seseorang, SUAMI / ISTERI seseorang dan ANAK seseorang? Adakah
                                    dengan bergelar GURU...mereka boleh diarahkan sesuka hati tanpa melihat pro dan
                                    kontra nya?

Saya mula mengajar di sekolah : 2003 dan kini sudah 2013 ... ada perbezaan dengan sistem? Saya belum merasainya ketika di sekolah. Sebab itu saya berusaha untuk keluar dari zon sekolah dan mencuba nasib di Bahagian Matrikulasi. Walaupun bekerja mengikut waktu pejabat, tapi saya BAHAGIA kerana :

Sejak APRIL 2011 Saya bukan lagi :
1. Guru rumah sukan
2. Guru kelab / unit beruniform
3. Guru Pusat Sumber
4. Guru kelas
5. Guru PJK
6. Guru Koperasi
7. Guru Pend. Moral, Sivik
8. Guru BM
***pengalaman : 2003 - 2011

Saya merupakan PENSYARAH (tetap GURU) BAHASA INGGERIS sepenuh masa yang boleh mengajar dan mengaplikasikan setiap ilmu yang saya belajar di UPM (1998-2000 : Matrik) (2000-2003 : TESL). Walaupun ada jawatan lain, tetapi Pengajaran dan Pembelajaran tetap NO. 1 di Matriks.

HARAPAN SAYA : Alangkah bagusnya kalau Pengajaran dan Pembelajaran diutamakan di sekolah-sekolah dan infrastruktur sekolah ditambah / dipulihkan dengan harapan GENERASI AKAN DATANG menjadi PEMANGKIN NEGARA yang BERKUALITI : dari segi PENDIDIKAN dan SAHSIAH mereka.

Saya sentiasa berdoa untuk semua RAKAN GURU yang lain agar mereka diberi KEKUATAN dan KETABAHAN menjalani hidup sebagai WARGA PENDIDIK yang sering dipersalahkan jika ada sedikit isu yang boleh diselesaikan dengan BIJAKSANA oleh golongan yang mempunyai kuasa untuk membuat PERUBAHAN.

***Mulakan niat menjadi GURU dengan LILLAHI TA'ALA : dan kita semua akan mendapat rahmat daripada Pencipta kita yang Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. InsyaAllah...

Nota:  Saya tidak berniat menyinggung mana-mana pihak. Seribu kemaafan dari saya.

No comments:

Post a Comment